 |
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj |
Alhamdulillah..
DYMM Sultan Johor juga turut menolak cadangan penubuhan Universiti Muhammadiyah yang telah dicadangkan untuk dibina di Pagoh, Johor. Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Ketua Agama Islam negeri Johor amat serius dalam menjaga keharmonian umat Islam di negeri Johor ini.
JOHOR BAHRU 26 Feb. - Sultan Johor menolak cadangan penubuhan Universiti Muhammadiyah kerana bertentangan dengan semua bidang kuasa dan peruntukan perundangan berkaitan agama Islam di negeri ini.
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, keputusan itu dibuat selepas melakukan penelitian sedalam-dalamnya dan tujuannya bagi mengelakkan kekeliruan, perbalahan dan perpecahan di kalangan umat Islam di negeri ini.
“Saya menerima makluman menerusi media massa bahawa Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menyatakan sokongan terhadap penubuhan cawangan Universiti Muhammadiyah yang ditubuhkan oleh gerakan Muhammadiyah Indonesia di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, negeri Johor.
“Saya ingin menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan dengan jelas bahawa agama Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri.
“Sementara Undang-undang Tubuh Negeri Johor 1895 memperuntukkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri Johor,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) di sini sebentar tadi.
Sebelum ini Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menolak penubuhan Universiti Muhammadiyah dan kenyataannya dimuat naik dalam Facebooknya, HRH Crown Prince of Johor.
Sebelum itu akhbar Utusan Malaysia melaporkan sokongan Dr. Maszlee untuk membina kampus Universiti Muhammadiyah Prof. Dr. Hamka (Uhamka) di negeri ini.
Sultan Johor bertitah, bagi melancarkan pentadbiran agama Islam, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor 2003 telah diwujudkan.
Titah baginda, enakmen itu memperuntukkan bahawa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sebagai pihak berkuasa utama agama Islam selepas Sultan manakala Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor adalah sebagai jawatankuasa yang memutuskan hal-hal berkaitan hukum syarak.
“Negeri Johor Darul Ta’zim mempunyai institusi agama Islam dan pendidikan Islam yang utuh lagi sistematik melangkaui satu abad yang mana ianya berprinsipkan dengan pegangan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiyah.
“Justeru, negeri Johor Darul Ta’zim tidak mempunyai sebarang keperluan untuk membawa masuk fahaman, amalan dan pegangan baru daripada luar,” titah Sultan Johor.
Walau bagaimanapun, baginda bertitah, negeri ini tetap menerima dan mengalu-alukan penubuhan cawangan mana-mana universiti dari luar negara yang ingin dibina di Johor demi perkembangan ilmu dan limpahan manfaat yang akan dikecapi rakyat Johor khususnya dan Malaysia amnya.
Sultan Ibrahim bertitah, namun sekiranya melibatkan kursus-kursus pengajian dan apa-apa perkara yang berhubungkait dengan agama Islam, maka pihak berkenaan perlu merujuk kepada MAINJ dan seterusnya mendapatkan perkenan Sultan Johor selaku ketua agama Islam negeri.
“Ketetapan ini bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan, perbalahan dan perpecahan di kalangan umat Islam di negeri Johor terutama dalam perkara yang tidak selari dengan pegangan akidah, amalan agama dan tradisi masyarakat Islam di negeri ini.
“Walaupun mungkin cadangan penubuhan Universiti Muhammadiyah ini kelak tidak menyediakan pengajian agama Islam secara spesifik, namun adalah menjadi satu pegangan kepada seluruh warga Muhammadiyah pada setiap masa berpegang, beramal dan menyebarkan doktrin Muhammadiyah selari dengan ketetapan badan tertinggi dalam gerakan Muhammadiyah.
“Saya juga mendapati fatwa yang dikeluarkan oleh Muhammadiyah adalah bercanggah dengan dengan fatwa di negeri Johor. Antaranya dari segi akidah, Muhammadiyah berpegang kepada pegangan Allah SWT berjisim dan bertempat dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran dan hadis bersifat mutasyabihat (kesamaran),” katanya.
Walhal titah baginda, pegangan akidah umat Islam di negeri ini adalah berdasarkan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah yang menafikan Allah SWT berjisim dan bertempat.
Daripada segi amal ibadah, baginda bertitah, kaedah pengambilan hukum di Negeri Johor Darul Ta’zim adalah berlandaskan Mazhab Syafie.
“Sementara pegangan Muhammadiyah tidak terikat kepada mana-mana Mazhab. Begitu juga percanggahannya terhadap keharusan amalan sambutan maulidur rasul, membaca doa qunut semasa solat subuh, membaca tahlil, talkin, menziarahi kubur dan sebagainya,” titah baginda. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/sultan-johor-tolak-cadangan-penubuhan-universiti-muhammadiyah-1.849236#ixzz5geHRI5wn © Utusan Melayu (M) Bhd